PETIKAN BERITA: Empat syarikat usaha sama dapat lesen takaful

By | September 2, 2010

KERAJAAN meluluskan pengeluaran lesen takaful keluarga baru kepada empat syarikat usaha sama.

Syarikat berkenaan ialah usaha sama American International Assurance Bhd (70 peratus) dengan Alliance Bank Malaysia Bhd (30 peratus); AMMB Holdings Bhd (70 peratus) dengan Friends Provident Group plc, UK (30 peratus); serta ING Management Holdings (M) Sdn Bhd (60 peratus) dengan Public Bank Bhd (20 peratus) dan Public Islamic Bank Bhd (20 peratus).

Sebuah lagi syarikat usaha sama ialah antara The Great Eastern Life Assurance Company Ltd (70 peratus) dengan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Bhd (30 peratus).

Bank Negara Malaysia berkata, empat lesen baru itu yang dikeluarkan di bawah Akta Takaful 1984, mengambil kira kekukuhan dan ketahanan kedudukan kewangan, rekod prestasi, kepakaran, pelan perniagaan dan sumbangan pemohon terhadap pembangunan sektor kewangan tempatan.

“Pengendali takaful keluarga baru ini akan dapat memberikan manfaat besar kepada kemajuan pembangunan industri takaful keluarga di Malaysia.

“Ini akan membantu dalam usaha menembusi bidang perniagaan dalam industri takaful keluarga termasuk produk takaful mikro, perubatan dan persaraan,” katanya dalam kenyataan mengumumkan perkara itu di Kuala Lumpur semalam.

Bank pusat itu berkata, pengendali takaful keluarga baru berkenaan juga akan memberi sumbangan besar dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.

Susulan pengumuman pada 27 April berhubung pengeluaran dua lesen takaful keluarga di bawah liberalisasi sektor perkhidmatan kewangan, ia telah menerima beberapa permohonan untuk lesen takaful keluarga.

Bank Negara menegaskan, dalam keadaan ekonomi semasa, wujud peluang dan potensi luas bagi industri insurans dan takaful.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *