Dalam mana-mana perniagaan, pendaftaran SSM, percukaian dengan LHDN dan zakat itu sudah menjadi kewajipan. Memang sudah tertakluk kepada peruntukan akta dan undang-undang masing-masing.
Tapi ada 2 perkara yang tidak wajib, tapi bila tidak diambil peduli, kesannya lebih besar dan dahsyat dari perkara-perkara wajib tadi.
1. TAKAFUL PEMILIK PERNIAGAAN
Sebagaimana pendaftaran harta intelek, pendaftaran takaful khas untuk pemilik perniagaan juga tidak menjadi kewajipan tetapi akan memberi kesan besar jika tidak ada. Mungkin ramai pemilik perniagaan yang sudah ada takaful sendiri, tapi mungkin lebih kepada takaful kad perubatan sahaja.
Sebagai contoh, Ali telah membuka CBD Enterprise, sebuah perniagaan pemilikan tunggal. Mempunyai 10 orang staff dan keuntungan bulanan mencecah RM100,000 sebulan. Sudah ada takaful kad perubatan, tetapi tidak mengambil takaful khas pemilik perniagaan sebab katanya membazir sebab bayar mahal.
Satu hari, ketika sedang bermain badminton, Ali tiba-tiba rebah ketika hendak melakukan jumping smash. Dia terkena serangan jantung dan dikejarkan ke sebuah hospital swasta. Memandangkan Ali ada kad perubatan, maka tidak ada masalah dari segi pembayaran bil hospital swasta tersebut.
Tetapi, masalah besar timbul apabila Ali disahkan meninggal dunia selepas 3 hari dimasukkan ke hospital. Memandangkan perniagaan Ali adalah milikan tunggal, perniagaan tersebut secara automatik tamat disebabkan kematian dan akaun bank CBD Enterprise telah dibekukan pihak bank.
Staff perniagaan milik arwah Ali mula mencari isteri Ali untuk menuntut bayaran gaji bulanan kerana akaun bank CBD Enterprise telah dibekukan, wang tidak dapat dikeluarkan. Dan dalam masa yang sama, rakan Ali iaitu Samad, juga mencari isteri Ali untuk menuntut hutang kerana Ali ada berhutang RM100,000 semasa ingin memulakan perniagaan dulu.
Kehidupan isteri Ali sekarang tertekan kerana terpaksa menanggung anak-anaknya yang masih kecil dan dalam masa yang sama menyelesaikan pelbagai hutang yang ditinggalkan suaminya. Wang dari akaun Ali dan CBD Enterprise tidak dapat dikeluarkan kerana telah dibekukan. Isteri Ali tidak tahu berbisnes kerana segala urusan bisnes dahulu diuruskan suaminya. Dia hanya suri rumah sepenuh masa.
Kini, isteri arwah Ali terpaksa meminta ihsan adik beradiknya dan jiran untuk meneruskan kehidupan seharian memandangkan duit simpanannya sudah pun habis. Dan dia masih dikejar pelbagai pihak menuntut segala macam perkara yang ditinggalkan arwah suaminya.
Situasi pasti berbeza jika Ali mengambil takaful khas untuk pemilik perniagaan. Wang hibah dari takaful boleh digunakan oleh isteri Ali sementara menunggu proses tuntutan harta pusaka Ali selesai yang sudah pasti memakan masa yang agak lama. Kehidupan isteri Ali akan lebih tenang walaupun selepas kematian Ali.
2. HARTA INTELEK
Pendaftaran harta intelek seperti trademark, paten dan sebagainya tidaklah wajib. Tetapi bila ia diabaikan, sesuatu bisnes boleh terjejas sekelip mata.
Sebagai contoh, Bisnes A ada trademark CBD yang sudah diguna lebih 10 tahun tetapi tidak pernah mendaftar. Bila masuk tahun ke 11, pemilik Bisnes A mendapat surat saman dari Bisnes B mengatakan dia telah menggunakan trademark berdaftar milik Bisnes B. Rupa-rupanya trademark CBD telah didaftarkan Bisnes B lebih 5 tahun yang lepas.
Bisnes A telah disaman lebih dari RM1 juta dan akibat saman ini, Bisnes A mengalami kerugian dan terpaksa gulung tikar. Bisnes A cuba bangkit dengan menggunakan trademark yang baru, tetapi tidak mendapat sambutan kerana pelanggan telah sedia kenal trademark CBD yang kini telah menjadi milik Bisnes B.
Situasi pasti berbeza jika Bisnes A telah mendaftarkan trademarknya 10 tahun yang lepas. Sudah pasti trademark CBD menjadi miliknya dan perniagaannya akan terus berkembang.
Dua situasi di atas adalah situasi dari kisah yang sering terjadi untuk diambil kisah dan diambil peduli kita semua dan diri saya sendiri sebagai pendiri bisnes.
Sekian coretan pertama di tahun 2019.
Silakan share, bukan copy paste.